Wednesday 14 September 2011

PBTM: masyarakat usah percaya cerita Mat Sabu

KOTA TINGGI – Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kota Tinggi, menggesa orang ramai terutamanya golongan muda, tidak terpengaruh dengan kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai hero kemerdekaan negara.

Ketua PBTM Kota Tinggi, Umar Ibrahim berkata, Mat Sabu sebenarnya tidak layak memegang jawatan sebagai pemimpin nombor dua Pas, berikutan kenyataan dikeluarkannya baru-baru ini.

“Sebagai bekas tentera, saya tidak pernah menganggap diri sebagai wira negara kerana tahu bahawa tugas diamanahkan adalah demi untuk menjaga keamanan negara sendiri.

“Bagaimanapun, saya dan juga ahli bekas tentera berasa amat sedih kerana PKM adalah musuh menentang negara dan begitu mudah diangkat Mat Sabu sebagai wira negara, sedangkan kita sendiri tahu bahawa komunis amat kejam dan tidak mempunyai sifat kemanusiaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: SINAR HARIAN

Friday 9 September 2011

Mantan Timbalan Panglima Tentera Darat Setuju Sejarah Kemerdekaan Negara Ditulis Semula


Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat yang juga anak kepada Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, Lt. Jen. Datuk Ja‘afar Onn (Bersara),72, bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia ditulis semula tetapi dalam masa yang sama mahu ia dilakukan secara jujur tanpa menyembunyi fakta-fakta sebenar.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu dipastikan tidak membabitkan kepentingan politik atau berasa bimbang sekiranya ia menyinggung perasaan mana-mana pihak.

‘‘Jangan main politik, sekarang ini kita tidak boleh bercakap banyak perkara kerana takut menyinggung perasaan pihak tertentu. Sepatutnya kita mesti memberitahu apa yang benar, sejarah dan kepentingan politik perlu diletakkan berasingan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat itu berkata, penulisan sejarah itu perlu jujur mendedahkan bagaimana usaha orang Melayu di bawah pimpinan Onn Jaafar dalam menentang Malayan Union.
Selain itu juga kata beliau ia harus memaparkan fakta sebenar membabitkan usaha nasionalis kiri, pemimpin-pemimpin bukan Melayu termasuk pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 setelah British membatalkan Malayan Union.

Kata beliau, fakta sebenar siapakah yang sebenarnya menyokong Malayan Union serta bentuk tuntutan yang mereka buat termasuk sikap rasa tidak senang tentang peruntukan hak-hak istimewa orang Melayu, soal bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan kewarganegaraan harus didedahkan.
‘‘Sekarang ini orang tidak tahu apa yang pernah dicuba (melalui tuntutan) sekarang ini hendak dibawa semula,” katanya.

Namun kata beliau, dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, maka orang Melayu telah berjaya memulihkan kedaulatan tanah air, maruah dan martabat bangsa, kedaulatan raja-raja, mengembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama Islam sebagai agama utama di negaranya.

 Sumber: UTUSAN MALAYSIA