Saturday, 30 July 2011

ISU SCORPENE: PENJELASAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

Akhir-akhir ini pihak tertentu asyik menimbulkan semula isu Kapal Selam Scorpene yang di dakwa ada unsur rasuah. Walaupun pihak KEMENTAH sudah menjelaskan isu ini pada tahun 2007, tapi ada yang masih tidak mengetahui ataupun sengaja tidak ambil tahu mengenai penjelasan berkenaan. Bagi yang tidak tahu, cuba baca sekali lagi....

PENJELASAN BERHUBUNG ISU PEROLEHAN
KAPAL SELAM SCORPENE DAN PESAWAT SUKHOI SU30MKM

 OLEH: ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

Kementerian Pertahanan hari ini ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti-parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham di dalam masyarakat.
Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.
Di sini, pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.
Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan diperolehi.
Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.
Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus – selaras dengan tatacara perolehan kerajaan – dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.
Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.
Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S.Ombak Laut Sdn. Bhd.
Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:
1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.
2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.
3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.
5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).
6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:
1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.
2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.
3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.
4. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.
Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.
Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.
Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.
Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Russia.
Rundingan terus ini adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.
Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.
Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.
Cawangan Perhubungan Awam
Kementerian Pertahanan Malaysia
Kuala Lumpur
26 April 2007
GENGRAMBO

Friday, 29 July 2011

Eurofighter Typhoon multi-role combat aircraft (MRCA).


Eurofighter Typhoon merupakan pesawat pejuang lincah, sayap delta, sirip hadapan dan berenjin kembar pelbagai fungsi. Pesawat ini direka dan dibina oleh satu konsortium gabungan tiga syarikat kongsi - Alenia Aeronautica, BAE Systems dan EADS - melalui syarikat pemegangan Eurofighter GmbH yang ditubuhkan pada 1986. Projek ini diuruskan oleh NETMA (NATO Eurofighter and Tornado Management Agency) yang bertindak sebagai pelanggan utama. Bagaimanapun, kajian mengenai projek ini telah bermula sejak 1979 lagi.

Tertib pengeluaran Eurofighter Typhoon telahpun bermula. Pesawat ini telah mula berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Britain, Tentera Udara Jerman (Luftwaffe), Tentera Udara Itali dan Tentera Udara Sepanyol dan Tentera Udara Austria. Arab Saudi pula telah memeterai perjanjian kontrak bernilai GB£4.43 bilion (sekitar 6.4 bilion pada 2007) untuk membeli 72 buah pesawat.


Eurofighter Typhoon adalah pesawat tempur moden yang unik yang mana terdapat 4 kilang pemasangan yang berlainan. Setiap syarikat memasang pesawat negara masing-masing, tetapi mengeluarkan komponen-komponen yang sama untuk semua 620 buah pesawat.

Alenia Aeronautica – Sayap kiri, penutup kepak luar, bahagian fiuslaj belakang

BAE Systems – Fiuslaj depan (termasuk satah depan), kanopi, tulang belakang, sirip ekor, penutup kepak dalam, bahagian fiuslaj belakang

EADS Deutschland – Fiuslaj tengah utama

EADS CASA – Sayap kanan, bilah pinggir depan

Negara yang memiliki Pesawat Eurofighter Typhoon ialah:

Tentera Udara Jerman - 40 (+140 dipesan)
Tentera Udara Itali - 30 (+91 dipesan)
Tentera Udara Sepanyol - 19 (+68 dipesan)
Tentera Udara Diraja UK- 49 (+183 dipesan)

Spesifikasi (Typhoon)

Enjin turbofan EJ200
Data dari Data prestasi Typhoon, RAF Typhoon, laman web BAE Systems, AFM

Ciri umum

Anak kapal: 1 (Typhoon F2) atau 2 (Typhoon T1)
Panjang: 15.96 m (52 kaki 5 in)
Rentang sayap: 10.95 m (35 kaki 11 in)
Tinggi: 5.28 m (17 kaki 4 in)
Sayap luas: 50 m² (538 kaki²)
Berat kosong: 11,000 kg (24,250 lb)
Berat berisi: 15,550 kg (34,280 lb)
Berat berlepas maksimum: 23,500 kg (51,800 lb)
Tujahan kering: 60 kN (13,500 lbf) setiap satu
Tujahan dengan pembakar lanjut: 90 kN (20,000 lbf) setiap satu

Prestasi


Di altitud: Mach 2 (2,120 km/j, 1,320 bsj)
Pada aras laut: Mach 1.2
Superkrus: Mach 1.2 - 1.5 bergantung pada muatan
Jarak: 1,390 km (864 kaki)
Jarak maksimum: 3,790 km (2,300 batu)
Lelangit khidmat 19,812 m (65,000 kaki)
Kadar kenaikan: >315 m/s[64][65] (62,000 ft/min[66])
Beban sayap: 311 kg/m² (63.7 lb/kaki²)

Pesawat Typhoon berupaya terbang pada kelajuan sepersonik tanpa menggunakan enjin pembakaran lanjut. Keadaan ini dirujuk sebagai "superkruis". Konsortium Eurofighter mendakwa pesawat ini mempunyai kadar belokan kekal sub-sonik yang besar, dan pecutan yang lebih laju pada Mac 0.9 di altitud 20,000 kaki berbanding F-15 Eagle, F-16 Fighting Falcon, F/A-18 Hornet, Dassault Mirage 2000, Rafale, Sukhoi Su-27, dan Mikoyan MiG-29.

Persenjataan

Gun: 1x meriam Mauser BK-27 berkaliber 27 mm dengan 150 butir peluru


Penanda laser seperti pod LITENING

Sumber: WIKIPEDIA

GENGRAMBO