Tuesday 12 July 2011

BERSIH 2.0: LUAHAN BEKAS TENTERA

Kepada sesiapa yang menganggap mereka yang menyertai perhimpunan haram BERSIH 2.0 adalah wira negara,sila baca artikel di bawah ini...
Bekas tentera terkilan peserta BERSIH dianggap wira
KOTA BHARU (Berita Harian): Seorang bekas tentera berpangkat Mejar yang hilang mata kiri, selain separuh jari manis kiri terputus serta mengalami kecederaan di kepala, dada dan kaki akibat terkena letupan bom tangan pada 1978, menganggap mereka yang mahu memberi taraf wira kepada peserta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada Sabtu lalu, adalah memalukan.

Mohd Noor Hussain, 62, yang berkhidmat selama 32 tahun dalam tentera berkata, sebagai seseorang yang pernah berjuang mempertahan negara daripada musuh, beliau amat terkilan apabila mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram mahu diangkat sebagai wira, sedangkan negara ketika itu berada dalam keadaan huru-hara.

"Saya ingin bertanya, apa pengorbanan dilakukan peserta BERSIH sehingga boleh dianggap wira kerana perbuatan 9 Julai lalu itu lebih membawa kemusnahan negara, bukannya perjuangan ke arah kebaikan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib dalam portal internet pembangkang, Harakahdaily, yang berkata, peserta BERSIH berhak dikalung wira negara kerana sanggup menghadirkan diri ke perhimpunan itu walaupun berdepan halangan dan rintangan.
Mohd Noor yang menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Mejar pada 1993 berkata, adalah senang untuk memusnahkan negara seperti dilakukan BERSIH tetapi rakyat perlu sedar pengorbanan pemimpin menuntut kemerdekaan sehingga Malaysia menjadi maju seperti sekarang.
"Rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kehidupan aman sekarang, berkat perjuangan tokoh serta wira negara sebelum ini dan kita harus mengekalkan keadaan itu selama-lamanya dengan menjauhi kegiatan yang membawa kepada kemusnahan negara.
"Rakyat asing berpusu-pusu masuk ke Malaysia kerana aman serta mewah dan satu kerugian jika rakyat sendiri melepaskan nikmat itu kepada orang luar dengan mengadakan perhimpunan haram itu," katanya.
Beliau yang cedera parah apabila bom tangan meletup ketika cuba menyelamatkan seorang bakal pegawai tentera dalam latihan melontar bom berkata, kepimpinan BERSIH sepatutnya menggunakan platform Parlimen untuk bersuara.
Katanya, segala isi hati yang terbuku selama ini boleh dilontarkan di Parlimen kerana ia akan didengar serta dibahaskan dan jika baik untuk rakyat serta negara, ia boleh diluluskan untuk diwartakan.
Bagi saya, perserta bersih adalah WIRA yang telah dibayar oleh negara asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan negara kita. Renung-renungkan lah wahai rakyat Malaysia.GENGRAMBO

No comments:

Post a Comment